Hijrah Tukar Mazmumah Kepada Mahmudah
PERISTIWA hijrah Rasulullah s.a.w perlu dijadikan ukuran buat diri individu Muslim kerana ia mempamerkan kesungguhan serta pengorbanan umat Islam di Makkah ketika itu yang sanggup berkorban nyawa, harta benda demi mencari keredaan Allah s.w.t.
Walaupun sejarahnya lebih 1,000 tahun, ia tetap dikenang sebagai lambang kejayaan umat Islam. Cukupkah kita hanya berbangga menggunakan nama Islam, dilahirkan dalam keluarga Islam namun hakikatnya tidak menjiwai watak sebagai seorang Islam tulen.
Penghijrahan utama yang perlu dilakukan adalah menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah. Tafsiran kepada sifat terpuji dan terkeji tidak hanya berkaitan mengenai perkara ibadat tetapi menilai sikap lain terutamanya hubungan sesama manusia dan masyarakat, gerak kerja seharian, budaya serta tingkah laku.
Sebagai langkah permulaan, perbaiki kelemahan kecil yang ada dalam diri terlebih dulu sebelum melihat perkara besar. Penghijrahan perlu berlangsung secara beransur-ansur dengan membiasakan diri melakukan kebaikan kerana lama kelamaan pasti berhasil.
Solat umpamanya adalah ukuran paling tepat menggambarkan perubahan sifat seseorang. Bagi mereka yang dulunya amat memandang ringan malah begitu banyak meninggalkan solat maka ingatlah ia ibadah utama yang mengukur kejayaan seseorang di dunia dan akhirat.
Jika melaksanakan solat, sebaiknya perkemaskan untuk bersolat pada awal waktu serta dilakukan secara berjemaah. Latih diri melaksanakan solat sunat lain sebagai menampung kekurangan dalam solat wajib.
Begitu juga halnya dengan sikap; jika dulunya dianggap seorang yang kasar percakapannya sehingga pernah membuatkan orang lain terasa, perbaikilah menjadi seorang yang memiliki budi pekerti luhur dan lembut percakapannya.
Aspek kebersihan diri dan tempat tinggal perlu dikekalkan dalam suasana bersih, cantik dan selesa kerana itu adalah tuntutan dalam Islam.
Umat Islam perlu mengingati Muharam sebagai tahun baru Hijrah yang penuh dengan kisah perjuangan Rasulullah dan sahabat menegakkan Islam. Keadaan ini jauh bezanya dengan senario umat Islam hari ini di mana mereka terhimpit dalam persaingan dunia tanpa sempadan yang amat mencabar.
Ditambah lagi dengan pengaruh kebendaan serta penghayatan nilai Islam semakin terhakis daripada kehidupan. Tidak hairanlah ada golongan manusia sudah hilang sifat hormat, semakin ramai sukakan kemungkaran dan bencikan kebaikan.
Umat Islam mesti mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah dan peranannya dalam menjana pembinaan insan berilmu, beriman, beramal dan berakhlak. Peristiwa Hijrah mengubah ‘wajah’ sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri. Akhirnya manusia dapat bersatu padu dan bermuafakat.
Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri Ja’afar bin Abi Talib sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah.
Rasulullah s.a.w mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi.
Allah s.w.t berfirman : “Kalaulah kamu belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat juga menyatupadukan antara perasaan dan hati mereka. Akan tetapi, Allah menyatupadukan mereka antara perasaan dan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Anfal, ayat 63).
Ayat ini mengingatkan kisah perpaduan antara kaum Muhajirin dan Ansar walaupun asalnya, mereka dua puak yang bersengketa.
Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Menurutnya mereka itulah yang menyemarakkan pentas dunia dengan nilai hidup positif yang tidak ada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah manusia.
Ini bertepatan dengan jolokan istimewa yang Allah kurniakan kepada mereka sebagai umat terbaik dan umat pertengahan. Sebagaimana firman Allah : “Dan demikianlah (sebagaimana Kami memimpin kamu ke jalan yang benar), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil”.
(Surah al-Baqarah, ayat 143).
Hijrah bukan bermakna melarikan diri atau mahu menyerah kalah, sebaliknya salah satu koleksi nostalgia silam bagi menyedarkan umat Islam.
Setiap umat Islam perlu mengimbas kembali masa setahun yang berlalu bagi menilai ke mana ia dihabiskan. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata : “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak”. Ungkapan ini memberi peringatan kepada kita betapa perlunya muhasabah diri dan bagaimana ia berupaya bertindak sebagai alat persiapan yang akan menentukan kejayaan.
Pada hari ini terdapat kelemahan melanda umat Islam termasuk kemunduran, kemiskinan, perpecahan, pertelagahan sesama sendiri. Ia jauh berbeza dengan jaminan Allah kepada umat Islam sebagai umat terbaik.
Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya ‘Al-Ghazwu al-Thaqafiy Yamtaddu Fi Faraghina’ menyatakan umat Islam akan gagal menunaikan risalah Islam yang diamanahkan melainkan mereka memiliki kekuatan kebendaan yang mencukupi.
Umat Islam pasti gagal merealisasikan amanah menyampaikan Islam jika mereka masih lagi bergantung hasil makanan daripada ihsan golongan kafir dan musuh Islam. Justeru, umat Islam perlu bekerja keras memartabatkan kembali imej dan maruah sebagai umat yang terbaik.
Masyarakat kita sebenarnya mampu menjadi warga hebat jika sentiasa membudayakan sifat rajin berusaha, kualiti kerja bermutu, kreatif dan sentiasa bermotivasi tinggi.